Wednesday, 21 October 2015

Isu Gharar

Isu-isu gharar.
            Gharar adalah unsur yang amat ditegah dan dilarang dalam islam. Ianya boleh membatalkan akad muamalat. Sekiranya akad terbatal, maka transaksi tersebut akan menjadi haram. Sebagai umat islam, perkara haram amat sensetif bagi kita sebagai penganut agama yang suci ini. Manakan tidak, islam menganjurkan cara hidup yang bersih dan suci dalam semua aspek.
            Tanpa kita sedari, dalam kehidupan seharian kita, banyak perkara gharar yang telah sebati dalam transaksi kita pada masa kini. Disini saya tampilkan beberapa  transaksi gharar yang kita lakukan samada kita sedari ataupun tidak.
Pertama, transaksi di kedai makan ataupun restorant. Kita sudah terbiasa memesan makanan tanpa melihat harga terlebih dahulu. Kadangkala pemilik restorant  memaparkan harga dengan tidak jelas atau mereka tidak memaparnya lansung atas tanggapan pelanggan sedia maklum dengan harga tersebut. Kebanyakan restorant hanya memaparkan senarai menu makanan yang disediakan di permis mereka tanpa memaparkan nilaian terhadap makanan tersebut.
Apabila pelanggan membuat bayaran keatas makanan tersebut, mereka akan terkejut dengan nilai ataupun harga makanan tersebut. Ini adalah gharar yang biasa atau sudah sebati dengan masyarakat kita hari ini khususnya umat islam. Tanpa kita sedari kita telah banyak menghadapi situasi sedemikian. Tanpa kita sedari ianya adalah gharar dalam muamalat sesama manusia.

Kedua adalah perundingan atau konsultan yang melibatkan khidmat nasihat atau kemahiran seseorang. Mereka yang biasa terlibat dalam transaksi gharar ini adalah doktor, pengamal perundangan, mekanik atau yang lain dengan menawarkan khidmat atas kemahiran mereka. Kebiasaanya mereka tidak mampu menganggarkan nilai atas perkhidmatan mereka sehinggalah mereka selesai melakukan tugas mereka. Sebagai contoh, perkhidmatan kesihatan di pusat rawatan tidak memaparkan kos sebenar untuk semua jenis sakit. Mereka hanya memaparkan beberapa kes yang biasa dirujuk kepada mereka. Pesakit akan mengetahui kos rawatan mereka semasa melakukan bayaran di kaunter sebelum mengambil ubat. Keadaan ini akan menimbulkan rasa tidak puasa hati sekiranya kos yang dicaj keatas pesakit melebiahi apa yang dianggap oleh pesakit tersebut. Tetapi, mereka terpaksa membayarnya juga kerana mereka sudah menerima khidmat  tersebut.
Contoh yang lain pula adalah mekanik yang membaiki kenderaan, samada motosikal ataupun kereta. Biasanya pelanggan akan meninggalkan kenderaan mereka di bengkel untuk dibaiki oleh mekanik sekiranya kerosakan pada kenderaan mereka serius. Pelanggan hanya akan membayar kos barang dan kos upah selepas mekanik selesai membaiki kenderaan mereka. Kadangkala timbul rasa syak atau keraguan sekiranya kos membaiki terlalu tinggi. Timbul persoalan dalam diri pelanggan, adakah benar senarai barang yang ditukar oleh mekanik benar-benar diganti atau sekadar mencatatnya sahaja di bil pembayaran.
Selain harga barang yang perlu dibayar, pelanggan juga perlu membayar kos upah atas khidmat mekanik tersebut. Acap kali kita dengar, kos upah yang tidak munasabah dan tidak setimpal dengan khidmat yang diterima oleh pelanggan. Sama juga dengan contoh pertama, pelanggan juga terpaksa membayar kos yang terpapar di bil kerana semua khidmat telah diberikan serta mustahil untuk memulangkanya.
Contoh lain transaksi atau muamalat yang mengandungi gharar adalah  takaful kesihatan. Dalam takaful kesihatan tidak dinyatakan apakah jenis penyakit yang dilindungi oleh takaful tersebut. Kebanyakan penyakit kronik tidak dilindungi oleh takaful kesihatan. Keadaan ini akan menyebabkan pihak pencarum tidak berpuas hati sekiranya penyakit mereka tidak dilindungi oleh pihak takaful kerana mereka tidak diberitahu secara jelas jenis penyakit yang dilindungi oleh pihak takaful.  
Disini dicadangkan beberapa jalan penyelesaian bagi contoh yang telah dinyatakan diatas. Bagi contoh pertama, pemilik permis makanan hendaklah memaklumkan kepada pelanggan mereka berkenaan harga makanan di permis mereka sekiranya mereka tidak mahu memaparkan harga makanan. Sekiranya mereka tidak mampu melakukan perkara tersebut, pemilik permis makanan hendaklah memaparkan harga makanan yang ditawarkan di permis mereka dengan jelas. Maka, terpulang kepada pelanggan samada mahu memesan makanan tersebut ataupun tidak. Sekiranya berlaku perselisihan faham semasa pelanggan melakukan pembayaran. Kedua-dua pihak hendaklah berbincang dengan cara yang baik dan menyelesaikan masalah mereka dengan bijak supaya kedua belah pihak tidak menanggung sebarang kerugian.
Manakala bagi contoh kedua pula, mekanik hendaklah berlaku jujur dalam melaksanakan tugas mereka. Setiap barang yang ditukar hendaklah dinyatakan dengan jelas dan terperinci dari segi kualiti, kuantiti dan harga barang tersebut. Sekiranya pelanggan menanyakan anggaran kos untuk membaiki kenderaan mereka, mekanik haruslah menganggarnya dengan anggaran yang masuk akal dan tidak berlebihan. Jika terdapat kerosakan lain semasa proses baik pulih dilakukan, mekanik hendaklah memaklumkan kepada pemilik kenderaan samada mahu menukarnya atau tidak serta menyatakan sekali nilai barang tersebut. Setiap upah kerja yang dilakukan hendaklah dinyatakan dari awal lagi, sekiranya pelanggan bersetuju dengan kos upah tersebut, pelanggan boleh meneruskan transaksi atau sebaliknya.
Bagi masalah takaful kesihatan, kedua-dua pihak perlulah memainkan peranan mereka kerana maklumat tidak akan sampai sekiranya tidak ada interaksi diantara dua pihak. Pihak takaful seharusnya memberitahu secara terperinci jenis-jenis penyakit yang dilindungi oleh takaful. Sekiranya pencarum berpuas hati dengan perlindungan tersebut, pencarum boleh membeli takaful tersebut sebagai perlindungan kepada dirinya atau kerabatnya.


Diatas ini adalah beberapa contoh transaksi yang biasa dilakukan oleh masyarakat islam pada masa kini, pada hakikatnya masih banyak transaksi yang terlibat dengan unsur gharar. Islam menyuruh umat islam menjaga hubungan sesama islam. Mengambil harta secara batil dengan apa cara sekalipun akan menyebabkan ikatan persaudaraan menjadi renggang. Justeru, ketidakfahaman masyarakat tentang ilmu muamalat menyebabkan mereka terjebak dalam unsur gharar dalam keadaan yang tidak sedar. Perlulah diketahui bahawa terjebaknya diri dalam unsur gharar ini adalah berdosa besar. Maka, islam mengharamkan transaksi yang mengandungi unsur gharar kerana menjaga kemaslahatan umat islam serta menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.

Syura (...sambungan)

Peranan.
a)Melakukan Pemilihan Ketua Negara
            Syura memainkan peranan yang penting dalam menentukan ketua bagi sesebuah negara Islam. Menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, tidak ada nas yang jelas menghuraikan tentang cara perlantikanny. Tetapi terdapat beberapa peristiwa sejarah Islam selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. yang boleh dijadikan panduan bagi perlantikan seorang ketua. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Sesiapa yang membaiah seserang lelaki tanpa melalui permesyuaratan di kalangan orang-orang Islam, janganlah kamu mengikutinya, iaitu orang yang dibaiah dan orang yang memberi baiah. Ditakuti kedua-duanya akan dibunuh.

b)Mendekatkan rakyat dengan pemerintah
            Syura bukan sahaja dihadiri oleh golongan pemerintah, tetapi turut diikuti oleh golongan-golongan lain seperti ahli akademik, perniagaan dan sebagainya. Sesuatu keputusan musyawarah, tidak tertakluk kepada keputusan pemerintah tetapi turut mengambil kira pendapat dan pandangan dari orang-orang bawahan termasuklah rakyat jelata.

            Kekuatan syura terletak pada kenyataan pada kenyataan bahawa musyawarah membawa masyarakat lebih dekat antara satu sama lain dan memberi kesempatan bagi mereka untuk menyuarakan pandangan tentang permasalahan yang menyangkut masyarakat umum. Hal ini juga akan menyebabkan wujudnya keharmonian dalam soal bernegara.





c) Menegakkan dan menyebarkan agama Islam
            Syura juga berperanan dalam menegakkan agama Islam ke setiap pelusuk tanah air yang mengamalkan sistem tersebut. Oleh kerana itulah Islam memberi penekanan yang amat besar terhadap kosep syura, khususnya dalam mengendalikan urusan duniawi yang mesti ditegakkan dengan agama.selain itu syura juga memberi hak kepada manusia untuk berfikir dan menggunakan kebijaksanaan mereka dengan menyuarakan pendapat-pendapat mereka terhadap sesuatu masalah.

            Syura juga boleh menyelamatkan para pemimpin dari lembah dosa, terutamanya dalam melaksanakan sesuatu hukum. Ini adalah kerana, jika pemimpin menggunakan keputusan sendiri, ianya ditakuti akan dipengarui oleh faktor-faktor luar.

d) Sebagai penasihat dalam kepimpinan Islam
            Dalam kepimpinan Islam, penasihat merupakan elemen penting yang mesti wujud, dalam masa yang sama ia berperanan sebagai juru pandu sesuatu kepimpinan. Oleh yang demikian, salah satu penasihat yang menyumbangkan kepada kecemerlangan sesebuah kepimpinan itu adalah syura.

            Oleh itu, syura dilihat sebagai penasihat bagi setiap keputusan yang dibuat oleh seseorang pemimpin dalam kepimpinannya. Lebih jauh daripada itu, syura bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah-masalah dalam pentadbiran, malahan ia sebagai medan perbincangan strategi dan pengkhususan kerja dalam sesebuah kepimpinan Islam.

e) Membentuk akhlak mulia dalam kepimpinan
            Sebagaimana yang diketahui, syura merupakan satu konsep permesyuaratan yang melibatkan penyertaan ramai ahli, yang mana masing-masing berhak menyuarakan atau mengemukakan pendapat tanpa sebarang sekatan. Proses syura berlansung dalam keadaan aman, masing-masing saling menghormati pandangan antara satu sama lain. Oleh yang demikian, secara tidak lansung syura Berjaya membentuk akhlak mulia di kalangan ahli majlis syura di dalam sesuatu kepimpinan. Rentetannya dari hal tersebut akan lahir kalangan mereka yang berfikiran terbuka, menghormati pendapat orang lain, berpandangan positif terhadap kritikan, tidak menyakiti hati orang lain sama ada melalui perkataan dan perbuatan dan sebagainya. Dengan lahirnya nilai-nilai murni ini, maka sebuah kepimpinan dapat dibentuk dengan cemerlang.

Syura


Definisi.
Kamus dewan edisi ke-4 mentakrifkan Syura sebagai mesyuarat(untuk mencapai keputusan menurut suara terbanyak)
Manakala dari perspektif islam pula perkataan syura adalah berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud mensyuarat. Manakala dari sudut istilah pula ialah permesyuaratan yang diadakan oleh sekumpulan ulama dan umat Islam dalam segala hal yang berkaitan dengan kepentingan dan kebajikan mereka berdasarkan kepada keimanan dan ketaqwaan.
Secara keseluruhan,syura adalah satu konsep dalam menentukan sesuatu keputusan dalam pemerintahan Islam. Sistem ini sangat penting sebagai faktor utama kejayaan politik Islam, dan atas asas ianya sebagai penentuan atau penjamin tidak akan cacatnya pelaksanaan dalam mana-mana zaman. Sesungguhnya pemerintah akan bersama-sama rakyat dalam mencari penyelesaian dalam mencapai keputusan-keputusan politik dan merupakan prinsip dasar negara dan masyarakat muslim.
Dalil.
فاعف عنهم واستغفر لهم وشاورهم في الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله إن الله يحب المتوكلين
Maksudnya:

Karana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.
(Ali Imran: 159)




Hukum.

Melihat kepada kedudukan syura di dalam al-Quran dan al-Sunnah, di samping peranannya yang amat besar dalam mewujudkan sistem pemerintahan, memadukan masyarakat dan memudahkan urusan rakyat dengan tepat, maka para ulama menegaskan bahawa syura adalah wajib keatas para pemimpin Islam di setiap zaman dan juga tempat.



#bersambung...

SEJARAH PENUBUHAN MAJLIS AGAMA ISLAM KELANTAN (MAIK)


~Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan ditubuhkan pada  pada 17 Safar 1334 bersamaan 24 Disember 1915.
~ Antara tokoh-tokoh tersebut ialah Haji Nik Mahmood Haji Wan Ismail (Dato’ Perdana Paduka Raja), Haji Muhammad bin Khatib Haji Muhammad Said (Dato’ Laksamana), dan Haji Muhammad Yusuf (Tok Kenali).Hasil gabungan tenaga pemerintah dan ulama inilah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiada Melayu Kelantan ditubuhkan dan kemudian dirasmikan penubuhannya. 1909.
~24 Disember 1915 bersamaan 17 Safar 1334, MAIK dimasyurkan penubuhannya oleh KDYMM Sultan Muhammad Ke-IV dalam suatu istiadat gilang gemilang di Pejabat Tanah lama Kota Bharu, di hadapan orang-orang kenamaan negeri, dengan disaksikan oleh sebahagian besar rakyat Kelantan.
~ VISI
Untuk menjadikan sebuah organisasi pengurusan wang zakat dan pengurusan harta baitulmal dan wakaf yang terunggul di Malaysia.
~ MISI
Memberi sumbangan bermakna untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi Islam.
~Strategi

·             Memperkemas dan memperluaskan bidang usaha dan kegiatan dakwah dan tarbiah (pendidikan) agama demi mempertingkatkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat
·            Memperkemas dan memperkembangkan aktiviti-aktiviti pembangunan ekonomi.

·            Mewujudkan institusi kebajikan bagi meningkatkan kegiatan amal bagi mengatasi masalah kemasyarakatan umat islam di kalangan fakir miskin, saudara baru, anak yatim, dan lain-lain.

Perbezaan Antara Syura dan Mesyuarat (...sambungan)

Bidang Kuasa

            Dalam sistem Syura, bidang kuasa pemimpin dikawal oleh institusi pimpinan iaitu kuasa seseorang pemimpin itu terhad kuasa yang tertentu seperti yang telah termaktub dalam Al-Quran. Ini bermakna seseorang pemimpin itu perlu amanah dan jujur dalam kepimpinannya. Justeru, adalah haram bagi pemimpin tersebut untuk pecah amanah dan tidak berlaku jujur di dalam organisasi yang beliau perintah. Pemimpin itu juga perlulah mempunyai ketegasan yang tinggi dalam mempertahankan syariat Allah seperti memperjuangkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

             Dalam mesyuarat pula, seseorang pemimpin itu mempunyai bidang kuasa yang terlalu luas termasuklah menggubal hukum-hakam syariat asalkan ia dipersetujui oleh suara majoriti. Dengan kuasa seseorang pemimpin itu, suatu perkara yang haram boleh menjadi halal asalkan mendapat persetujuan rakyat serta mendapat keuntungan untuk organisasi tanpa menghiraukan halal dan haram. Dalam erti kata lain, bidang kuasa yang digunakan adalah berasaskan akal fikiran manusia dan mengikut logik akal semata-mata, bukannya berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Suara Majoriti
              Dari segi suara majoriti dapat dilihat perbezaan yang jelas antara syura dan mesyuarat. Suara majoriti dalam syura adalah berdasarkan permesyuaratan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, manakala dalam mesyuarat pula adalah berdasarkan keperluan dan kehendak semasa asalkan mendapat sokongan atau majoriti daripada orang bawahan dan peraturan itu boleh berubah dari semasa ke semasa.
              Mesyuarat hari ini mempunyai dua cabang perundangan. Yang pertama ialah peraturan tetap yang tidak menerima perubahan dan pertukaran iaitu undang-undang yang berterusan dalam perlembagaan. Perubahan kandungan perlembagaan dalam peraturan pertama ini hanya akan berlaku setelah dipersetujui oleh majoriti orang bawahan dalam keseluruhan aspek. Yang kedua ialah peraturan yang tunduk kepada perubahan dan pertukaran yang dilakukan oleh gabungan suara majoriti di dalam sesuatu majlis kepimpinan atau dalam erti kata lain golongan yang mempunyai kewibawaan dalam sesebuah organisasi.

               Dalam syura, apabila berlaku kesalahan terhadap pemimpin, setiap orang bawahan diberi peluang untuk menegur pemimpin yang melakukan kesalahan. Ini kerana sikap pemimpin di dalam syura mengajar untuk tidak bersikap ego, Sombong dan angkuh. Berbeza dalam mesyuarat, apabila berlaku ketidakpuasan orang bawahan kepada pemimpin lalu orang bawahan menegur kesalahan pemimpin, kebanyakan pemimpin tidak mengambil peduli apa yang dilontarkan kepada pemimpin apabila berada di dalam mesyuarat untuk berbincang. Ini kerana sikap pemimpin yang merasa dirinya adalah pemerintah dan dirinya lah yang berkuasa mentadbir sesebuah organisasi tanpa menghiraukan keluhan orang bawahan.

Perbezaan Siatem Syura dan Mesyuarat

Pemilihan Pemimpin
Perbezaan yang paling ketara antara syura dan mesyuarat adalah dapat dilihat melalui proses pemilihan pemimpin. Melalui sistem syura, pemilihan khalifah atau pemimpin adalah berdasarkan apa yang telah disarankan dan disuruh oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran.

           Di dalam  Al-Quran, seseorang pemimpin itu haruslah memenuhi ciri-ciri ataupun kriteria-kriteria yang tertentu untuk melayakkan diri menjadi pemimpin di dalam sesebuah organisasi. Keutamaan diberikan kepada sesiapa yang mempunyai keimanan dan ketaqwaan yang tinggi di sisi Allah S.W.T. Pemimpin ataupun dalam erti kata lain khalifah itu juga mestilah berilmu pengetahuan yang luas terutamanya dalam bidang agama, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

            Antara lain juga pemimpin di dalam sesebuah organisasi perlulah mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik serta mempunyai kemahiran yang tinggi. Andai kata pemimpin itu mempunyai ketidaksempurnaan fizikal dan mental, sudah pasti sesebuah organisasi akan susah untuk di majukan.

            Dalam erti kata yang lain, pemimpin yang dilantik melalui sistem syura itu wajiblah memimpin sesebuah organisasi itu berasaskan kebenaran serta menjauhi sebarang bentuk kebatilan. Ini selaras dengan apa yang disarankan di dalam Al-Quran yang sering menyuruh umat Islam supaya menegakkan kebenaran serta menjaga kebajikan masyarakat dengan tidak mengambil kira terhadap suara majoriti sebagai satu kemestian terutamanya dari segi pemilihan pemimpin. Firman Allah S.W.T dalam Surah Yunus ayat 32 yang bermaksud:
“Maka tidak ada sesuatu kebenaran melainkan kesesatan”

           Ini dapat dilihat dalam sistem mesyuarat yang menjadikan suara majoriti sebagai asas dalam pemilihan seseorang pemimpin tanpa mengambil kira aspek sahsiah, akhlak, serta keperibadian beliau. Asalkan seseorang itu dicalonkan dan mendapat sokongan majoriti daripada orang bawahan maka terlantiklah seorang pemimpin yang bukannya dilantik berasaskan prinsip kebenaran, malah berkemungkinan jelas menampakkan ia berasaskan kebatilan.

            Sebagai contoh, pencalonan itu menjadi mudah untuk diperoleh sekiranya seseorang itu mempunyai harta yang banyak dan pengaruh yang besar dalam bidang-bidang yang kritikal seperti ekonomi dan lain-lain. Semua faktor ini dapat menyebabkan seseorang itu dilantik sebagai pemimpin seandainya pemimpin itu mempunyai harta yang banyak di mana orang bawahan beranggapan bahawa pemimpin yang berharta akan menjamin kehidupan mereka. Ini jelas menunjukkan kebatilan dan kelemahan yang terlalu nyata dari segi pemilihan pemimpin dalam mesyuarat.

           
  Memanglah tidak dinafikan syarat-syarat yang diperlukan seseorang pemimpin itu adalah seperti mempunyai latar belakang yang baik. Akan tetapi, ia tidak menegaskan bahawa pemilihan pemimpin mestilah berasaskan kebenaran seperti mana yang disarankan dalam Al-Quran dan seterusnya menjadi tunjang kepada kepimpinan yang adil dan saksama.


             Dalam sistem syura, calon-calon pemimpin akan dinilai melalui mesyuarat ahli-ahli majlis syura sebelum seseorang itu dilantik menjadi pemimpin. Kemudiannya, seluruh orang bawahan akan menilai calon yang telah ditapis oleh majlis tersebut dan mereka bebas untuk memberikan persetujuan sama ada bersetuju ataupun tidak. Hak kebebasan rakyat dapat dilihat menerusi ucapan khalifah Abu Bakar as-Siddiq seperti yang berikut:

"Wahai Manusia, sesungguhnya aku telah dilantik ke atas kamu dan bukanlah aku orang yang paling baik di antara kamu. Kalau aku lemah kamu betulkanlah aku dan kalau aku berbuat baik, kamu tolonglah aku, benar itu amanah dan dusta itu khianat. Yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku mengambil hak daripadanya insya`Allah"

            Berbeza dengan mesyuarat, seseorang itu perlu patuh dan taat dalam semua perkara yang menjadi tuntutan orang bawahan apabila telah dilantik menjadi pemimpin walaupun ia melibatkan perkara-perkara yang mungkar. Keadaan yang berlawanan juga boleh berlaku. Dalam mesyuarat, orang bawahan perlu akur dengan semua arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin walaupun ia bertentangan dengan kehendak syariat selagi mana pemimpin itu memegang tempat pemerintahannya.


#bersambung

Pajak Gadai (Ar-Rahn)

Objektif Ar-Rahn
1)      Menyediakan kemudahan mikro secara mudah, cepat dan amanah kepada masyarakat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah untuk kegunaan sebagai modal perniagaan secara kecil-kecilan dan lain-lain aktiviti yang produktif bagi membangunkan sosioekonomi ummah. Ar-rahn memudahkan masyarakat mendapatkan dana dari pihak yang mempunyai wang bagi membiayai perniagaan yang diusahakan oleh peniaga kecilan. Dengan modal yang diperolehi dari gadaian tersebut maka, perniagaan dapat dikembangkan dan dimajukan. Jika ramai umat islam memjalankan perniagaan maka ekonomi umat islam akan meningkat kerana Sembilan dari sepuluh punca rezeki dari perniagaan. Oleh itu, umat islam digalakkan menjalankan perniagaan bagi meningkatkan ekonomi serta meningkatkan kemahiran dalam menguruskan perniagaan disamping mengangkat urusniaga yang berteraskan islam yang sebenar. Jika ekonomi umat islam telah kukuh dan berada pada landasan yang benar maka umat islam akan dipandang tinggi dalam masyarakat sesebuah negara malahan ianya boleh menjadi kayu ukur dan contoh tauladan kepada umat islam di Negara lain supaya mengikuti jejak langkah yang ditonjolkan oleh umat islam.

2)      Sebagai alternatif kepada masyarakat untuk memenuhi keperluan tunai melalui transaksi gadaian yang berlandaskan hukum syarak. Masyarakat yang kekurangan wang tunai boleh melakukan transaksi gadaian atau Ar-rahn kerana dengan transaksi ini wang akan diperolehi dengan kadar yang segera. Gadaian cara ini bukan sahaja cepat malahan mematuhi hukum syarak yang telah ditetapkan dalam islam. Bagi mengelakan perkara yang ditegah dalam agama berlaku, islam memberi satu inisiatif supaya segala transaksi atau muamalat yang dilakukan dalam kalangan umat islam memperoleh keredhaan dan keberkatan dari Allah taala. Umat islam ditegah dari meminjam wang dari pihak yang salah seperti “Ah Long” dan sebagainya. Kerana ianya  jelas bertentangan dengan hukum syarak.
3)      Membolehkan individu memperoleh kewangan yang lebih efektif dari segi kos tanpa perlu meminjam daripada daripada saluran yang mahal seperti “Ah Long” , “ceti” atau syarikat peminjam wang. Dengan transaksi Ar-rahn ini penggadai bukan sahaja memperoleh wang secara halal bahkan keselamatan diri juga terjamin kerana transaks ini mengikut landasan syarak yang sebenar. Jumlah wang yang diperolehi juga setimpal dengan nilai barang yang digadai. Ianya bukan sahaja menguntungkan pihak penggadai bahkan memberi ketengan  kepada penggadai selepas berurusan dengan pihak Ar-rahn. Islam juga menitikberatkan sumber wang yang diperolehi dalam melakukan apa-apa perkara. Oleh itu, seharusnya umat islam sentiasa peka dan prihatin dalam meguruskan sumber kewangan mereka supaya unsur Riba, Gharar dan Maisir terhindar dari sumber rezeki yang mereka perolehi. Kerana setiap wang yang diperolehi akan dipersoalkan oleh Allah semasa hari perhitungan kelak.

4)      Menghapuskan unsur Riba dalam urusan pajak gadai. Unsur Riba adalah unsur yang sangat ditentang dalam islam kerana ianya memberi kesan yang buruk kepada semua pihak samada penerima Riba ataupun pemberi Riba. Riba sangat ditentang serta diharamkan secara terus oleh Allah. Pengharaman Riba telah jelas didalam Al-quran. Oleh itu, sebagai umat islam seharusnya kita menolak segala apa perkara yang mempunyai unsur yang jelas keharamanya dalam islam. Kerana rezeki yang halal adalah matlamat  utama dalam mencari rezeki di dunia ini walaupun ianya sedikit, tetapi biarlah ianya berkat dan diredhai Allah. Riba bukan sahaja memusnah penerimanya malahan seluruh masyarakat akan terkesan dengan perkara yang dilarang dalam agama ini. Sebagai umat islam, semestinya kita menolak dengan sekerasnya perkara atau segala unsur yang mempunyai unsur yang dilarang dalam islam.
5)      Membebaskan golongan peminjam khususnya umat islam daripada penindasan pajak gadai konvensional. Golongan yang melakukan transaksi biasanya adalah golongan yang memerlukan sumber kewangan dengan kadar yang segera. Oleh itu, jika meraka melakukan transaksi pajak gadai dengan cara yang terburu-buru maka mereka akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Perlunya pihak yang ingin melakukan transaksi pajak gadai berhati-hati supaya berhati-hati supaya tidak mudah dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertangungjawab. Pihak yang menerima transaksi ini juga haruslah bertangungjawab dalam menjalankan amanah kerana setiap perkara akan dipertangungjawabkan keatas pihak yang melakukan perkara tersebut.

6)      Memecahkan monopoli perniagaan pajak gadai yang dikuasai oleh satu kaum sahaja. Jika kita melihat fenomena sekarang, permis pajak gadai biasanya didominasi oleh satu kaum sahaja. Tidak menjadi masalah sekiranya mereka dapat menjalankan transaksi dengan cara yang dianjurkan oleh syarak. Tetapi amat malang bagi masyarakt islam yang melakukan transaksi dengan mereka yang menggunakan kaedah konvensioanal dalam urusniaga mereka. Ianya bukan sahaja bertentangan dengan agama malahan membebankan pihak yang melakukan transaksi ini. Oleh itu, seharusnya umat islam menjalankan urusniaga pajak gadai atau lebih mesra dengan nama Ar-rahn kerana ianya memberi kemaslahatan kepada seluruh umat islam bahkan agama lain juga boleh merasai keadilan yang ada dalam transaksi yang dijalankan oleh islam. Ar-rahn sudah menjadi suatu keperluan kepada masyarakat sekarang kerana desakan hidup yang melampaui kemampuan masyarakat sekarang. Oleh itu, umat islam perlulah mendalami dan mempelajari semua teori yang terdapat didalam transaksi Ar-rahn kerana ianya bukanlah perkara yang mudah difahami tanpa menggali ilmunya dengan lebih mendalam.