Wednesday 21 October 2015

Isu Gharar

Isu-isu gharar.
            Gharar adalah unsur yang amat ditegah dan dilarang dalam islam. Ianya boleh membatalkan akad muamalat. Sekiranya akad terbatal, maka transaksi tersebut akan menjadi haram. Sebagai umat islam, perkara haram amat sensetif bagi kita sebagai penganut agama yang suci ini. Manakan tidak, islam menganjurkan cara hidup yang bersih dan suci dalam semua aspek.
            Tanpa kita sedari, dalam kehidupan seharian kita, banyak perkara gharar yang telah sebati dalam transaksi kita pada masa kini. Disini saya tampilkan beberapa  transaksi gharar yang kita lakukan samada kita sedari ataupun tidak.
Pertama, transaksi di kedai makan ataupun restorant. Kita sudah terbiasa memesan makanan tanpa melihat harga terlebih dahulu. Kadangkala pemilik restorant  memaparkan harga dengan tidak jelas atau mereka tidak memaparnya lansung atas tanggapan pelanggan sedia maklum dengan harga tersebut. Kebanyakan restorant hanya memaparkan senarai menu makanan yang disediakan di permis mereka tanpa memaparkan nilaian terhadap makanan tersebut.
Apabila pelanggan membuat bayaran keatas makanan tersebut, mereka akan terkejut dengan nilai ataupun harga makanan tersebut. Ini adalah gharar yang biasa atau sudah sebati dengan masyarakat kita hari ini khususnya umat islam. Tanpa kita sedari kita telah banyak menghadapi situasi sedemikian. Tanpa kita sedari ianya adalah gharar dalam muamalat sesama manusia.

Kedua adalah perundingan atau konsultan yang melibatkan khidmat nasihat atau kemahiran seseorang. Mereka yang biasa terlibat dalam transaksi gharar ini adalah doktor, pengamal perundangan, mekanik atau yang lain dengan menawarkan khidmat atas kemahiran mereka. Kebiasaanya mereka tidak mampu menganggarkan nilai atas perkhidmatan mereka sehinggalah mereka selesai melakukan tugas mereka. Sebagai contoh, perkhidmatan kesihatan di pusat rawatan tidak memaparkan kos sebenar untuk semua jenis sakit. Mereka hanya memaparkan beberapa kes yang biasa dirujuk kepada mereka. Pesakit akan mengetahui kos rawatan mereka semasa melakukan bayaran di kaunter sebelum mengambil ubat. Keadaan ini akan menimbulkan rasa tidak puasa hati sekiranya kos yang dicaj keatas pesakit melebiahi apa yang dianggap oleh pesakit tersebut. Tetapi, mereka terpaksa membayarnya juga kerana mereka sudah menerima khidmat  tersebut.
Contoh yang lain pula adalah mekanik yang membaiki kenderaan, samada motosikal ataupun kereta. Biasanya pelanggan akan meninggalkan kenderaan mereka di bengkel untuk dibaiki oleh mekanik sekiranya kerosakan pada kenderaan mereka serius. Pelanggan hanya akan membayar kos barang dan kos upah selepas mekanik selesai membaiki kenderaan mereka. Kadangkala timbul rasa syak atau keraguan sekiranya kos membaiki terlalu tinggi. Timbul persoalan dalam diri pelanggan, adakah benar senarai barang yang ditukar oleh mekanik benar-benar diganti atau sekadar mencatatnya sahaja di bil pembayaran.
Selain harga barang yang perlu dibayar, pelanggan juga perlu membayar kos upah atas khidmat mekanik tersebut. Acap kali kita dengar, kos upah yang tidak munasabah dan tidak setimpal dengan khidmat yang diterima oleh pelanggan. Sama juga dengan contoh pertama, pelanggan juga terpaksa membayar kos yang terpapar di bil kerana semua khidmat telah diberikan serta mustahil untuk memulangkanya.
Contoh lain transaksi atau muamalat yang mengandungi gharar adalah  takaful kesihatan. Dalam takaful kesihatan tidak dinyatakan apakah jenis penyakit yang dilindungi oleh takaful tersebut. Kebanyakan penyakit kronik tidak dilindungi oleh takaful kesihatan. Keadaan ini akan menyebabkan pihak pencarum tidak berpuas hati sekiranya penyakit mereka tidak dilindungi oleh pihak takaful kerana mereka tidak diberitahu secara jelas jenis penyakit yang dilindungi oleh pihak takaful.  
Disini dicadangkan beberapa jalan penyelesaian bagi contoh yang telah dinyatakan diatas. Bagi contoh pertama, pemilik permis makanan hendaklah memaklumkan kepada pelanggan mereka berkenaan harga makanan di permis mereka sekiranya mereka tidak mahu memaparkan harga makanan. Sekiranya mereka tidak mampu melakukan perkara tersebut, pemilik permis makanan hendaklah memaparkan harga makanan yang ditawarkan di permis mereka dengan jelas. Maka, terpulang kepada pelanggan samada mahu memesan makanan tersebut ataupun tidak. Sekiranya berlaku perselisihan faham semasa pelanggan melakukan pembayaran. Kedua-dua pihak hendaklah berbincang dengan cara yang baik dan menyelesaikan masalah mereka dengan bijak supaya kedua belah pihak tidak menanggung sebarang kerugian.
Manakala bagi contoh kedua pula, mekanik hendaklah berlaku jujur dalam melaksanakan tugas mereka. Setiap barang yang ditukar hendaklah dinyatakan dengan jelas dan terperinci dari segi kualiti, kuantiti dan harga barang tersebut. Sekiranya pelanggan menanyakan anggaran kos untuk membaiki kenderaan mereka, mekanik haruslah menganggarnya dengan anggaran yang masuk akal dan tidak berlebihan. Jika terdapat kerosakan lain semasa proses baik pulih dilakukan, mekanik hendaklah memaklumkan kepada pemilik kenderaan samada mahu menukarnya atau tidak serta menyatakan sekali nilai barang tersebut. Setiap upah kerja yang dilakukan hendaklah dinyatakan dari awal lagi, sekiranya pelanggan bersetuju dengan kos upah tersebut, pelanggan boleh meneruskan transaksi atau sebaliknya.
Bagi masalah takaful kesihatan, kedua-dua pihak perlulah memainkan peranan mereka kerana maklumat tidak akan sampai sekiranya tidak ada interaksi diantara dua pihak. Pihak takaful seharusnya memberitahu secara terperinci jenis-jenis penyakit yang dilindungi oleh takaful. Sekiranya pencarum berpuas hati dengan perlindungan tersebut, pencarum boleh membeli takaful tersebut sebagai perlindungan kepada dirinya atau kerabatnya.


Diatas ini adalah beberapa contoh transaksi yang biasa dilakukan oleh masyarakat islam pada masa kini, pada hakikatnya masih banyak transaksi yang terlibat dengan unsur gharar. Islam menyuruh umat islam menjaga hubungan sesama islam. Mengambil harta secara batil dengan apa cara sekalipun akan menyebabkan ikatan persaudaraan menjadi renggang. Justeru, ketidakfahaman masyarakat tentang ilmu muamalat menyebabkan mereka terjebak dalam unsur gharar dalam keadaan yang tidak sedar. Perlulah diketahui bahawa terjebaknya diri dalam unsur gharar ini adalah berdosa besar. Maka, islam mengharamkan transaksi yang mengandungi unsur gharar kerana menjaga kemaslahatan umat islam serta menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.

No comments:

Post a Comment